KUALA LUMPUR: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bukan sahaja membantu masyarakat setempat mendapatkan capaian internet, malah menjadi pusat sehenti yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan.
Pengurus PEDi Kampung Kala Star di Gua Musang, Kelantan, Siti Rohani Hamat, PEDi adalah pusat sehenti untuk komuniti mencari rujukan dalam dunia perniagaan digital dan meningkatkan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan belia serta wanita.
“Impak daripada inisiatif ini, banyak usahawan lahir daripada status pemula sehingga berjaya. Produk dipasarkan juga semakin mendapat perhatian.
“Kejayaan ini dikaitkan dengan penggunaan internet di PEDi. Contohnya, mereka memasarkan produk diniagakan di media sosial seperti Shopee dan Tiktok,” katanya.
Beliau mendedahkan, ramai usahawan kecil sudah berjaya menjana pendapatan sehingga RM10,000 dengan menggunakan PEDi sebagai wadah.
“Sebelum ini, ada seorang graduan politeknik yang pulang ke kampung selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disebabkan tiada pekerjaan, dia mengusahakan perniagaan solok lada.
“Dia bermula dengan tanaman secara kecil-kecilan di rumah dan kerap ke PEDi untuk mendapatkan maklumat mengenai cara penanaman sehingga berjaya menjadi usahawan.
“Jualannya, kini boleh mencecah RM10,000 sebulan tetapi bergantung kepada harga semasa kerana harga sayur boleh berubah-ubah,” katanya.
Siti Rohani berkata, sejak 2017 berkhidmat di PEDi, sambutan diterima menggalakkan kerana jarak di antara Kampung Kala Star dan bandar mengambil masa 30 minit.
“Sebelum ini, segala urusan membabitkan internet akan dilakukan di bandar. Sekarang ketika cuti persekolahan memang ramai pelajar akan datang. Pada hari bekerja pula masyarakat setempat akan ke PEDi, kebetulan kami berada di sebelah pusat komuniti, jadi pusat ini kerap digunakan.
“Selain peniaga dalam talian, antara pengunjung yang selalu menggunakan perkhidmatan kami adalah pelajar, kakitangan kerajaan, jururawat, guru tadika KEMAS dan guru sekolah. Boleh dikatakan mereka menggunakan perkhidmatan PEDi setiap hari,” katanya.