mcmc
Sejarah

Sejarah

 

SEJARAH BERMULANYA SEGAMAT DAN FELDA KEMELAH

SEGAMAT

Segamat asalnya dikenali sebagai Rantau Panjang. Sekitar tahun 1511, Bendahara terakhir MelakaBendahara Tepok dan para pengikutnya berundur ke Johor setelah kejatuhan Melaka ke tangan tentera Portugis pimpinan Alfonso de AlbuquerqueBendahara dan para pengikutnya berhenti berehat di satu lubuk sungai di kawasan tersebut dan meminum air sungai tersebut. Setelah meminumnya, beliau berkata, “Segar amat badanku ini!“, dan seterusnya menamakan sungai tersebut sebagai Segar Amat, yang kemudian berubah menjadi Segamat. Namun demikian, nama tersebut hanya diguna pakai pada sungai tersebut sahaja. Petempatan yang seterusnya menjadi pusat bandar Segamat asalnya dipanggil Rantau Panjang. Bandar tersebut hanya mengambil nama sungai itu pada awal abad ke-20.

Menjelang penghujung abad ke-19, 4 daerah asal Johor mempunyai beberapa daerah kecil, contohnya daerah asal Muar mempunyai 4 daerah kecil – Parit JawaChohongLenga dan Segamat. Pegawai Daerah Kecil Segamat yang pertama adalah Encik Menthol bin Haji Ahmad. Pada tahun 1933, daerah penuh Segamat ditubuhkan setelah persempadanan semula oleh kerajaan Johor bagi memisahkan 4 daerah asal (MuarBatu PahatJohor Bahru dan Sedili) kepada 8 daerah (sebelum persempadanan tahun 2008 yang menambah daerah Kulaijaya dan Ledang untuk membentuk 10 daerah).  

*sumber wikipedia

FELDA KEMELAH 

Perkataan “Come-lah” Mencetuskan Ilham

 Felda Kemelah dibuka pada tahun 1961 dan mempunyai keluasan 1,969 hektar. Pada asalnya hanya 113 buah keluarga yang berjaya mendapat tempat di felda ini. Walaupun begitu, kesungguhan dan kesabaran peneroka telah merubah keadaan Felda Kemelah yang dahulunya dikenali sebagai Felda Tenang Station.

         Menurut cerita orang-orang tua,

nama Felda Kemelah diambil bersempena nama Sungai Kemelah. Walaupun begitu, ada juga yang mengatakan nama Sungai Kemelah diperolehi daripada nama seorang gadis orang Asli bernama Kemelah yang sering membasuh pakaian di kawasan muara sungai itu. Gadis itu dipercayai datang dari perkampungan orang Asli berhampiran di situ.

        Sementara itu, pendapat lain mengatakan nama Kemelah diperolehi daripada sebutan “come-lah” yang sering dituturkan oleh Sir A.L Gwybe. Beliau ialah Pengurus Felda Kemelah sekitar tahun 1960-an. Disebabkan pada ketika itu sambutan penduduk tempatan untuk menyertai peneroka Felda tidak mendapat sambutan, beliau sentiasa berusaha bersua dengan penduduk di kampung-kampung sekitar Segamat, malah sehingga ke Muar dan Batu Pahat.

       Ketika bertemu penduduk kampung, beliau sering mengajak penduduk menjadi peneroka dan perkataan yang sering disebutnya ialah “come-lah” yang bermakna “datanglah”. Oleh sebab perkataan loghat Inggeris-Melayu itu disebut berulang-ulang, maka lama-kelamaan tercetuslah nama Felda Kemelah. Bagaimanapun, penempatan ini dahulunya dikenali dengan nama Rancangan Tanah L.K.T.P Tenang Stesen. LKTP ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau lebih dikenali sebagai FELDA.

        Sepanjang sejarahnya, Felda Kemelah telah ditadbir oleh lapan orang pengurus yang berwibawa, bermula dengan Sir A.L. Gwyne pada tahun 1961 sehingga 1967. Beliau kemudiannya digantikan oleh Abu Hassan Mamat (1967-1970). Pengurus ketiga ialah Selvadurai (1970-1977) dan Baharuddin Bin Karim (1977-1982). Pengurus seterusnya ialah N.V Singgam (1982-1989), Ariffin Mammod Aladad Khan (1989 -1990), Omar Samani(1990-2004), Shahdan bin Awang (2004-2012) , Md Ansari bin Jamrah (2012-2014) dan yang terkini adalah Ishak bin Hasan. Manakala Ketua Kampung Felda Kemelah terkini adalah Encik Azman bin Abd Aziz.